Monday, March 9, 2009

ciri-ciri tentang kehidupan yang mendatang



Persoalannya..
salahkan dia menentukan syarat untuk lelaki yang ingin menjadi pasangannya?
Jawapannya tentu sekali tidak salah kerana jika makan sekali pun kita mahukan yang lazat, membeli barang kita inginkan yang bernilai baik apatah lagi dalam membuat pilihan tentang pasangan hidup. Cerewet itu perlu kerana anda akan mengharungi kehidupan ini bersama pasangan anda untuk satu jangkamasa yang panjang. Untuk ‘melabur’ dalam kehidupan berkeluarga yang bahagia dan menguntungkan, pemerhatian, kajian dan keputusan yang baik itu menjadi kemestian. Bunyinya begitu serius sekali kerana perihal mencari pasangan bukan perkara main-main.

Cermin Diri
Sebelum mula membuat prasyarat untuk jejaka atau gadis pilihan, perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah untuk mencermin diri sendiri. Universal Law of Attraction mengatakan bahawa ‘yang baik itu menarik yang baik’ dan ‘yang tidak baik itu mengundang yang tidak baik’. Maksudnya, mereka yang baik akan tertarik kepada pasangan yang baik dan sebaliknya. Apabila tiba masanya untuk mencari pasangan, kita perlu menilai diri kita dan cuba untuk memperbaiki kekurangan yang kita ada dengan sebaik mungkin. Buangkan sifat-sifat negatif yang telah melekat dalam diri dan tambahkan unsur-unsur positif untuk kebaikan diri sendiri. Jangan harapkan kesempurnaan pasangan jika tiada usaha dalam diri kita untuk memperbetulkan kelemahan diri. Untuk keadaan fizikal yang dikurnia Ilahi dan tidak boleh diubahsuai lagi, pasrahlah atas kurniaanNya. Namun, bagi perangai yang boleh diperbetulkan, jangan fikir dua kali untuk melakukannya.

Senaraikan Sifat Yang Dicari

Untuk memudahkan proses mencari, senaraikan sifat pasangan yang ingin dicari. Mengikut sunah Rasullullah, jangan mencari pasangan kerana harta dan kecantikan sahaja tetapi pilihlah yang beriman. Tidak salah jika menginginkan yang beriman, berharta dan mempunyai kejelitaan atau ketampanan rupa. Kacak dan cantik bukan sama di setiap mata, penilaian kita berbeza-beza. Yang cantik di mata dia, belum tentu cantik di mata saya. Lantas, kerana subjektifnya perihal rupa, carilah yang sedap mata memandang. Rupa yang sederhana tentu sekali ada terselit kemanisannya. Berharta juga tidak bermakna mempunyai mahligai sebagai singgahsana atau memandu Mercedes Kompressor, tetapi seorang yang mempunyai keupayaan untuk menyara kehidupan isteri dan anak-anak agar tidak zalim terhadap keluarga. Namun, yang beriman itu muncul unsur paling penting. Bukan mencari yang berjanggut, berjubah dan bercelak di mata tetapi memilih individu yang sedar tentang kewujudannya sebagai seorang hamba Allah yang dituntut taat di dunia ini.

Proses Pemilihan
Cara eliminasi lebih mudah dipraktiskan untuk memilih pasangan yang serasi. Memang sukar untuk kekal objektif apabila cinta sudah memanah hati. Hati kena kental dan minda perlu membuat keputusan untuk kebaikan di kemudian hari. Sewaktu berkenalan, perhatikan sifat-sifat yang terdapat pada pasangan dan bandingkan dengan ciri-ciri pasangan yang anda cari. Perlukah anda toleransi dengan sifat-sifat yang tidak anda sukai itu sepanjang hayatmu. Sifat yang jelas buruk seperti kaki botol dan suka judi tentu sekali jangan dipertimbangkan tetapi bagi sifat-sifat negatif yang tidak ekstrem sebagai contoh, sifat panas baran dan suka melenting dalam banyak keadaan. Fikirkan untuk jangkamasa panjang dan adakah anda rasa anda boleh bertolak ansur dengan sifat begitu untuk tempoh yang lama. Bagaimana pula dengan pasangan yang suka konfrontasi? Melawan bila ditegur kesilapannya dan tidak akan mengalah dalam apa jua keadaan. Selidiki juga latarbelakang keluarganya terutama dari segi perubatan. Anda berhak untuk tahu kerana yang dipertaruhkan ialah kehidupan dan zuriat anda di masa akan datang.

Chemistry

Akhir sekali, nilai tahap chemistry kau dan dia. Cinta itu perlu wujud dalam hidup berpasangan kerana tanpanya akan hambar suasana kelamin, akan surut perasaan ingin berkongsi kehidupan. Carilah keserasian antara kamu berdua, pastikan kau selesa bersamanya sentiasa.

Tidak perlu wujud rasa serba salah untuk cerewet dalam memilih pasangan kerana anda berhak terhadap kehidupan anda sendiri. Istilah hentam keromo dan tangkap muat tidak perlu dipraktikkan dalam usaha untuk mencari pasangan hidup. Selalu kita dengar orang kata “Jangan cerewet sangat, nanti tak kahwin pulak,” tetapi untuk ambil sikap sambil lewa akan menjadikan kita terjerumus dalam kancah perkahwinan tidak bahagia. Tujuan utama dalam mencari pasangan hidup yang ideal ialah untuk mencipta zuriat, dan tentu sekali sesiapa sahaja inginkan zuriat kita lahir dengan fizikal yang sempurna dan peribadi yang molek belaka. Take charge dan bertanggungjawablah dalam memilih pasangan hidup yang menepati citarasa dan keperluan kehidupan masing-masing.

1 comment: